Thursday 9 October 2014

Posted by Unknown On 07:43

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihi.

Terima kasih Ya Allah dengan nikmat kasih sayang dan kebahagiaan yang aku nikmati ini.


Alhamdulillah syukur Ya Allah, saya dikurniakan seorang suami yang penyayang dan punyai anak-anak yang sihat cergas ceria. Bijak menceriakan suasana untuk membahagiakan kami sekeluarga. Suami merupakan tulang belakang kejayaan saya sehingga kini. Sentiasa menyokong dan membantu saya menguruskan rumah tangga dan perniagaan. Terima kasih suamiku sayang, kerana memahami dan sama-sama mengubah kehidupan dan cara berfikir.

Nikmat keluarga bahagia yang kami bina selama 4 tahun ni sangat indah sehingga hari ini. Namun, dalam perjalanan hingga ke hari ini, kami pernah melalui fasa dugaan yang hampir-hampir meruntuhkan rumah tangga kami berdua. Wanauzubillah himinzalik.


SAYA SEPERTI SINGA LAPAR DAN JAHAT !!!!

Ia bermula pada tahun 2013 di mana selepas saya melahirkan anak kedua. Selepas habis tempoh berpantang selama 3 bulan, perubahan sikap saya jadi sangat ketara. Saya menjadi seorang yang sangat SENSITIF, PEMARAH, PANAS BARAN, BERMULUT CELUPAR, dan SUKA MENYUMPAH... 
Kemarahan itu saya lepaskan pada suami, anak anak kecil saya yang tidak tahu apa-apa serta anak-anak murid saya. Pantang salah sedikit atau ada perkara yang tak kena pasti saya mengamuk dan memaki-maki hamun. Astaghfirullah hal azim.



Ada juga saya termenung seorang kononnya untuk muhasabah diri. Tapi semuanya bersifat sementara. Amukan saya akan menjadi-jadi bila saya balik ke rumah.

“Arghhhh menyampah meluatnya aku” …. Bentakku setiap kali melihat wajah suami saya.

Tapi bila di maktab saya teramat merindui dirinya. Selalu mesej dan menghubunginya waktu kerja.

Begitu juga dengan anak-anak, Saya rindukan mereka, namun bila sampai di rumah saya akan marah-marah dan sampai memukul mereka.

“Ya Allah Ya Tuhanku …. Kalaulah saya boleh putar kembali masa … kesian anak anakku ”

Dengan pelajar, kalau saya sekali marah memang habislah.. Tapi bila di rumah rindu pula pada anak-anak pelajar. Pelik memang pelik. Perubahan sikap yang drastik. 

“Adoila saya pun tak tahu nak gambarkan macam mana perasaan seperti ini !!!!! “


KENAPA YA SAYA BERUBAH?!!!

Saya rasa perubahan saya ni disebabkan beban tugas dah bertambah. Anak dah dua. Di  maktab  saya pula ditugaskan menjadi Penyelaras PMR. Memang agak sibuk soal penilaian prestasi pelajar. Selalu kena menghadiri mesyuarat dengan Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik. Kepenatan itu yang membuatkan saya agak tertekan. Tertekan dengan tugasan sebagai seorang guru yang memegang pelbagai urusan akademik dan kokurikulum. Di rumah kena urus hal ehwal rumah tangga. STRESSSSSSS.....



Saya kerap sakit kepala, pening kepala, sakit telinga yang berdesing, demam, selsema dan batuk. Saya kerap ambil cuti sakit. Bila jumpa doktor, beliau cakap yang saya ni kekurangan zat besi dalam badan. Tekanan darah kurang stabil. Muka saya pucat, bibir lebam.

Set berpantang yang ada Vitalea dan Bcomplex dah habis masa ini dan saya tidak meneruskan lagi pengambilannya. Sebulan sekali pasti saya sakit. Perkara ini berulang- ulang selama 5 bulan.

Pernah satu hari yang saya sangat kesal hingga ke hari ini, saya telah menghempas anak kedua saya yang berumur 7 bulan ke atas katil kerana merengek-rengek tak berhenti dan saya turut marah pada suami. Saya pukul dan tendang suami saya.

Saya pun tak faham kenapa saya bertindak gila seperti itu dan saya tak tahu kenapa saya nak marah sangat. Anak sulung saya Darwisya selalu menjadi saksi perkelahian saya dengan suami, sehingga Darwisya pernah menjerit, 

"Ibu, diammmmmmm!!!!" 
“Gulppp …” tersentak seketika saya mendengar anak saya menjerit seperti itu.

Astagfirullah al adzim … apa yang saya buat ni …

SUAMIKU SANGAT PENYABAR

Suami jenis pendiam, tak melawan. Dia sangat penyabar. Kalau dia marah dia pasti diam tengok televisyen. Suami juga ada memujuk tapi saya benci tengok dia. Hinggakan ajakan suami untuk bersama saya tolak mentah-mentah tanpa memikirkan perasaan suami. Saya akan bagi alasan penat, tak berminat, tak cintakan dia, bencikan dia.

“Abang ceraikan saya … “ Inilah ungkapan BODOH yang selalu saya ucapkan

Hubungan dengan anak-anak pula hambar. Kasihan pada anak-anak, balik dari taska mesti mereka nak dimanja- manja tapi saya rimas. saya akan marah-marah tak tentu pasal.

Kalau balik kampung mak dan mertua, saya bersahaja memarahi anak-anak dan suami depan mereka. Sampai satu tahap mak saya menegur saya dan memarahi saya dengan menyatakan kalau macam nilah perangai saya, lepas ni tak payah beranak dah. Seksa budak kecil kena dengan awak ni.

Mak tak pernah ajar anak-anak mak sombong dan kurang ajar dengan suami dan orang tua. Saya merajuk, sampai tak bertegur mak sendiri. Bagi saya, tindakan saya betul. Saya memang tak suka ditegur.

MY TURNING POINT

Saya dah penat dengan keadaan saya macam ini, Suatu hari semasa di kafe bersama kawan-kawan ada topik perbincangan pasal pelajar-pelajar histeria, pasal jin, ilmu hitam, saka dan sihir. Ada sahabat saya ni dia ceritakan pengalaman dia pergi berubat untuk hilangkan gangguan jin padanya, semasa dia dapatkan rawatan dia ada sebut mengenai tanda-tanda orang yang didampingi JIN ASYIK.

Pada mulanya saya tak ambil serius dan tak percaya perkara-perkara macamni. Tapi semakin lama semakin seronok saya mendengarnya. Semua ciri-ciri yang JIN ASYIK suka berdamping semua ada dengan apa yang saya lalui pada masa itu. Saya terfikir-fikir. Saya mesej suami saya dan saya nyatakan yang saya mahu pergi berubat dengan cara perubatan Islam.


Suami bersetuju dan temujanji diatur dengan Ustaz Faizal, pengasas Pusat perubatan Islam Zamruddani Tanjung Malim. Sampai di sana saya dirawat bersama-sama suami. Kepala saya dipegang sambil saya duduk menghadap kiblat dan dibaca dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran.

Tengkuk dan sendi-sendi saya sakit dan hujung jari kaki saya rasakan ada sesuatu berangin yang keluar.  Saya tarik nafas panjang-panjang sewaktu Ustaz tepuk belakang badan saya. Selepas itu saya ditanya soalan mengenai ciri-ciri orang yang didampingi jin asyik ini adakah saya alaminya juga.

Ciri-ciri orang yang didampingi Jin Asyik dan saya alaminya.

1-   Kerap sakit kepala, sakit sendi dan demam
2-   Suka lewatkan solat, tak suka mengaji dan berzikir
3-   Ada perasaan was-was
4-   Sensitif, tidak boleh ditegur
5-   Membenci suami/anak-anak
6-   Suka bergaduh dengan orang
7-   Suka tidur siang
8-   Bermimpi bersetubuh dengan lelaki lain
9-   Pemarah, panas baran
10- Ada lebam di peha atau lutut
11- Suka bersendirian
12- Berkhayal dan bercakap seorang

Sambil bertanya kepada saya dan saya mengangguk-angguk mengiyakannya.

Allahu akbar..

Semua itu saya alami sendiri. Saya pernah bermimpikan seorang lelaki yang tidak dikenali, kami berkasih sayang. Saya pernah bermimpi menyusukan bayi, saya pernah ada kesan lebam di peha dan lutut selepas bangun tidur, saya suka tidur di siang hari hingga rasa sangat malas nak solat dan mengaji, saya ego!!!

Selepas itu , giliran suami saya pula. Alhamdulillah, suami tiada apa-apa gangguan.

JIN ASYIK : TETAMU TIDAK DIUNDANG

Ustaz bertanyakan lokasi rumah kediaman kami dan ustaz meminta kami memagar rumah dengan bacaan ayat pendinding. Baru teringat kisah yang Darwisya pernah menangis terperanjat kerana ditinggalkan berseorangan bermain di ruang tamu.

Bila saya menghampiri Darwisya, dia menunjukkan sesuatu ke atas mengarahkan di suatu sudut rumah. Apabila saya memeluk Darwisya, dia memberi amaran kepada ilusi tersebut dengan menjerit,

"takut yeeee, takut yeeee..."

Dalam tandas selepas saya memandikan Darwisya, dia juga menegur di sudut tandas dengan melambai-lambai sambil mengucap Hai!! Saya agak pelik dengan tindakan anak saya ini. Tapi saya buat tak kisah.

Ustaz memberitahu siapakah Jin Asyik. Jin Asyik adalah makhluk Allah juga. Dia adalah jin untuk mengganggu hubungan kasih sayang suami isteri. Dia akan membuatkan pasangan membenci. Dia cuba untuk memisahkan pasangan. Jin asyik boleh mendampingi suami atau isteri.

Nasihat Ustaz untuk mengelakkan didampingi Jin asyik adalah dengan...

1- Menjaga aurat di rumah
2- Mandi Berkemban (elakkan berbogel)
3- Elakkan mandi di waktu Maghrib
4- Jaga pakaian semasa tidur
5- Baca Bismillah semasa membuka pakaian dan membaca doa memakai pakaian
6- Jaga aktiviti hubungan suami isteri dengan tidak dalam keadaan terang dan terbuka
7- Mulakan semua perkara dengan Bismillah
8- Amalkan solat berjemaah dan hidupkan rumah dengan mengaji dan berzikir
9- Amalkan ayat Mahabbah supaya kasih sayang berpanjangan


Tiba di rumah, kami solat maghrib berjamaah dan  bersama-sama membaca 4 Qul dan ayatul kursi memagar rumah mengikut lawan arah jam. Selesai memagar rumah, saya memohon ampun dan maaf di atas segala salah silap saya selama ini.

Balas suami saya, 

"abang dah lama maafkan sayang" …. Suami saya membalas sayu

Menangis teresak-esak saya dibuatnya. Saya kesal sangat-sangat.
Terima kasih suamiku kerana memberi peluang sekali lagi untukku membaiki kesalahanku.

Syukur alhamdulillah, hubungan kami semakin hari semakin baik. Kemesraan dan kasih sayang kami sentiasa di hati. Kami membelai manja anak-anak dengan rasa kasih sayang sejati.

Saya semakin bersemangat menggali ilmu untuk memikat hati suami dan mencari ilmu keibubapaan. Allah lorongkan saya dengan satu perjalanan yang banyak mengajar saya erti kesabaran, kebahagiaan dan ketenangan.

Saya sangat menjaga hubungan saya dengan Allah dan manusia sekeliling terutama ahli keluarga. Saya memantapkan kecantikan dalaman dan luaran demi suami tercinta.

Teringat pesanan mentor saya, 

"Su...nak berjaya dalam hidup, jaga hubungan dengan Allah dan manusia. Dapatkan redha suami dan doa ibu kita. InsyaAllah kekayaan,kebahagiaan dan kejayaan akan sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita. AMIN".

Saya harapkan dengan apa yang saya ceritakan ini menjadi panduan kepada pembaca-pembaca sekalian. Ambillah langkah berjaga-jaga dengan memantapkan ilmu pengetahuan dan bergaul dengan orang-orang soleh.

Saya doakan agar kita semua dilindungi Allah dengan rahmatNya dan kita sentiasa bahagia bersama keluarga tercinta.